Blog ini dalam usaha untuk memartabatkan Tulisan Jawi

'Like [✔]' jika anda rasa blog ini berguna dan bermanfaat.
Sebarang perkongsian dan penambahbaikan adalah amat dialu-alukan.

Friday 10 January 2014

Tulisan Jawi sebagai Khazanah dan Warisan Bangsa

JERUDONG, Khamis 5 Julai- Pelaksanaan Persidangan Kebangsaan Ejaan Jawi menunjukkan bahawa rakyat di Negara Brunei Darussalam menjunjung tinggi saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan perlunya penyelarasan di dalam penggunaan ejaan jawi di negara ini.Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menegaskan demikian di Majlis Penutupan Rasmi Persidangan Kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan, di Indera Samudera The Grand Hall, Empire Hotel and Country Club di sini.  
Yang Berhormat berkata, persidangan itu juga telah menunjukkan akan komitmen dalam mengangkat dan mempertahankan akan pentingnya tulisan jawi sebagai khazanah dan warisan bangsa yang perlu terus diamalkan, diperkasa, diajar, disebar dan dipergunakan secara meluas di kalangan masyarakat di peringkat negara baik secara rasmi mahupun tidak rasmi.
"Bersempena dengan Bulan Bahasa di bulan Julai ini, persidangan yang diadakan ini sekaligus menunjukkan komitmen dan kesungguhan kita ke arah mengukuh dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Ini memandangkan penguasaan tulisan Jawi itu adalah sinonim dengan bahasa Melayu dan ianya merupakan identiti yang hakiki kepada bangsa dan tamadun Melayu Brunei" ujar Yang Berhormat.
Dari persidangan ini juga katanya, akan dapat memaparkan dan menyerlahkan lagi keperluan penghayatan tulisan jawi melalui pembelajaran dan kaedah ejaan yang tepat dan memandangkan tulisan jawi merupakan komponen penting dan sangat central yakni utama kepada pembelajaran pembacaan Kitab Suci Al-Qur'an dan amalan zikir atau zikrullah.
Tambah Yang Berhormat, pentingnya akan peranan dan mempelajari tulisan jawi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titahnya "Inilah makanya amat mustahak bagi kita mempelajari Tulisan jawi atau Tulisan Al-Qur'an itu, supaya memudahkan kita beramal atau membaca doa-doa dengan betul dan sempurna".
Di samping itu, tulisan jawi ini juga adalah merupakan khazanah dan warisan yang sangat unik kepada bangsa, identiti dan tamadun Melayu dan dilihat sebagai medium perhubungan yang mempunyai nilai seni yang sangat halus dan indah. Sehubungan dengan ini penguasaan tulisan jawi secara kreatif dan inovatif mampu menyumbang ke arah pertumbuhan sektor industri kreatif.
Namun keunikan dan keindahan tulisan jawi ini juga diakui dan dikagumi oleh bangsa-bangsa luar yang menimbulkan minat dan keghairahan mereka untuk mempelajari dan mengkaji tulisan jawi secara mendalam. Justeru itu, terang Yang Berhormat lagi, tidak ada alasan mengapa bangsa Melayu Brunei tidak berbangga dan mencintai tulisan jawi, dan malahan ada di kalangan Negara-negara Melayu sendiri sangat menyanjung dan mengkagumi Negara Brunei Darusslam dalam memartabatkan dan menggunakan tulisan jawi secara meluas di kalangan masyarakat awam, sektor perniagaan dan perusahaan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga turut mengulas akan kegemilangan dan keunggulan tulisan jawi di dalam tamadun Melayu bilamana signifikannya adalah terlalu besar dalam sejarah bangsa dan dunia melayu. Ini kerana kewujudan tulisan jawi sudah bemula sejak kurun ke-14 dan merupakan alat komunikasi dan saluran interaksi masyarakat melayu dengan kemasukan Islam ke nusantara Melayu.
"Daripada rekod dan catatan sejarah, perjanjian-perjanjian awal dengan negara-negara asing akan ditulis dalam tulisan jawi. Selain itu, pembuktian sejarah juga ditulis dalam tulisan jawi contohnya Batu Tarsilah di Kawasan Kubah Diraja dan Batu Bersurat di Terengganu. Begitu juga dengan karya penulisan kreatif yang ditulis dengan tulisan jawi, antaranya Syair Awang Semaun dan Syair Bidasari yang dijumpai di Sumatera dan malahan perundangan negeri dan hukum kanun juga ditulis dalam tulisan jawi. Ini adalah membuktikan kegemilangan tulisan jawi di dalam dunia Melayu," jelas Yang Berhormat lagi.
Begitu juga tulisan jawi yang berkait rapat dengan penyebaran agama Islam dan perkembangan intelek dan persuratan di alam melayu. Terdapat banyak kitab-kitab agama ditulis dengan tulisan jawi dan antara penulis-penulis agung Islam yang menghasilkan karya mereka dalam tulisan jawi ialah Hamzah Fansuri, Nurudin Al-Ramiri, Samsudin Al-Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel.
Di akhir ucapan beliau, Yang Berhormat juga turut menyarankan kepada semua agensi-agensi yang berkepentingan atau 'stakeholders' untuk mengambil tindakan awal yang bersepadu dan mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing untuk mengimplementasikan segala resolusi dan kesepakatan yang dicapai.
"Resolusi dan keputusan yang baik dan berkesan adalah dilaksanakan dan disusuli dengan tindakan dan dalam waktu yang sama, kesinambungan tanggungjawab mengangkat dan memartabatkan tulisan dan penggunaan tulisan jawi di peringkat negara adalah terletak dibahu generasi masa kini," jelas Yang Berhormat pada mengakhiri ucapannya.
(Petikan dari Pelita Brunei, Jumaat 6 Julai 2012 oleh Kharitini Hamir)

No comments:

Post a Comment